Galeri

Karya-karya Wijaya



Kumpulan Puisi Renungan

Dalam kumpulan puisi ini, banyak tema yang telah disentuh oleh Wijaya seperti kepercayaan, pendidikan, pengalaman hidup dan sosio-budaya. Disamping membincangkan tema-tema ini, terselit nasihat sebagai renungan untuk pembaca.

Terdapat 56 buah puisi dalam kumpulan ini. Terserlah hasrat pengarang untuk melihat bangsa Melayu dirantau ini, dan khususnya Brunei, memartabatkan budaya, bangsa dan bahasa mereka. Sebagai contoh, terdapat beberapa puisi tentang kemerdekaan yang beliau tulis seperti Hasrat Merdeka, Sudah Merdeka dan Kita Sudah Merdeka.

Sebagai contoh, dalam sajak Hasrat Merdeka beliau menukilkan erti kemerdekaan yang sebenar;

Mahu merdeka sejati
Bukan untuk berkerusi
Atau diniagakan
Merdeka untuk hidup aman- tenteram- makmur.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang isu kemanusiaan dalam sajak O! Manusia.

Bangun duhai kawan
Jernihkan mata hatimu
Hindarkan ragu-ragu
Tuju satu matlamat.




Astaka Khusyuk Tawaduk

Dalam antologi ini, terdapat dua buah puisi Wijaya yang dimuatkan. Puisi-puisi tersebut ialah Pengalaman Merdeka dan Orang Yang Berjaya? Kedua-dua buah puisi ini panjang coretannya dan ditulis dalam rangkap-rangkap seperti pantun. Sebagai contoh, puisi Pengalaman Merdeka terdiri daripada 21 rangkap, dan puisi Orang yang Berjaya? mempunyai 27 rangkap.

Walau bagaimanapun, puisi-puisi ini tidaklah ditulis mengikut format pantun yang mempunyai pembayang dan maksud. Juga, tiada penekanan pada rima di hujung pembayang dan maksud. Kedua-dua puisi ini bebas dari konvensional pantun itu tadi.

Jelas di sini Wijaya hanya meminjam bentuk pantun bagi puisi-puisi ini. Sedangkan matlamat yang ingin dicapainya tersirat dalam maksud puisi-puisi tersebut.

Sebagai contoh, Wijaya ingin memperjuangkan nasib bangsa Melayu Brunei yang merdeka. Untuk mencapai hasrat itu, ilmu pengetahuan perlu dititik beratkan sebagaimana yang tergambar dalam rangkap ini;

Negara merdeka rakyat merdeka
Bukan berharap fikiran orang
Cari fikiran bangsa sendiri
Baru bangsa hidup berjaya.

Walau bagaimanapun, perkara ini perlu diseimbangkan dengan akhirat. Beliau menegaskan, dalam sajak Orang Berjaya? seperti di bawah;

Cuba fahamkan tafsiran firman
Surah al-Zariat ayat 56
Jin dan manusia dijadikan Tuhan
Semata-mata untuk beribadat.

Sememangnya pemilihan kedua-dua buah sajak ini tepat kerana perkaitan antara kedua-duanya. Dapat dikatakan Wijaya mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi dalam sajak-sajaknya.





Syair Rakis
Rakis- Satu Testemen Politik (Zaini Haji Ahmad Al-Haj) dan Syair Rakis (Wijaya)

Syair Rakis telah menjadi kebanggan rakyat Brunei sejak sekian lama. Ia merupakan karya Pengiran Shahbandar Md. Salleh, seorang cendekiawan yang hidup dan berbakti pada zaman Sultan Omar Ali Saifuddin II. Beliau merupakan seorang yang berpendidikan, bijaksana lagi berhemah.

James Brooke menyifatkan Pengiran Shahbandar Md. Salleh sebagai seorang Melayu yang tidak pandai merokok dan makan sirih. Pengiran Shahbandar juga disifatkan sebagai terpelajar dan pandai bergaul serta menyesuaikan diri dengaan orang Inggeris. Selain itu, Pengiran Shahbandar pandai menulis dan membaca dalam bahasa Melayu.

Pengiran Shahbandar Md. Salleh telah mengarang Syair Rakis selama beberapa bulan dan dipersembahkan kepada Sultan Omar Ali Saifuddin II dan Sultan Abdul Momin.

Perkataan rakis bermakna perjanjian. Oleh yang demikian, syair rakis membawa pengertian syair perjanjian. Jika mengikut istilah sekarang ia dapat disamakan dengan testemen politik kerana terdapat banyak isu sosio-budaya yang dibangkitkan. Sebagai contoh dalam syair rakis kedua, dinukilkan;

Ayohai Tuanku Mahkota Desa
Chari rundingan henderik biasa
Supaya dapat berbuat jasa
Boleh ditinggalkan kepada masa.

*henderik= bijaksana, tahu selok-belok muslihat orang

Syair Rakis yang terkenal ini menjalani proses tranliterasi oleh Dr. Awang Jamil Umar Al-Sufri atau lebih dikenali sebagai Wijaya.