Karya dan Sumbangan

Wijaya ialah seorang tokoh yang aktif dan prolifik dalam penulisan. Sumbangannya dapat dilihat dalam beberapa bidang seperti bahasa, sejarah, pendidikan dan sastera. Dalam bidang bahasa, beliau dikenali sebagai penggerak minggu dan bulan bahasa pada awal tahun 1960-an. Karyanya yang berjudul Corak Pendidikan di Brunei Pada Masa Hadapan mengandungi dasar-dasar penting dalam sistem pendidikan di Brunei. Dasar-dasar tersebut adalah seperti menjadikan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, mengukuhkan pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah, dan menimbulkan suatu identiti kebangsaan sebagai tapak pertumbuhan rasa taat setia kepada Brunei.


Dalam bidang sejarah pula, beliau masih aktif menggali sejarah Brunei yang panjang. Jawatan Pengetua Pusat Sejarah Brunei yang dipegangnya menjadi bukti kecintaannya dalam bidang sejarah. Beliau telah menghasilkan beberapa penulisan penting dalam bidang ini. Antaranya adalah seperti Sejarah Brunei Penggal 1 yang ditulis bersama Yura Halim (1958), Syair Rakis (1983), Latar Belakang Sejarah Brunei (1990), Liku-liku Perjuangan Pencapaian Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam (1992), Survival Brunei dari Perspektif Sejarah (1997), Tarsila Brunei 2: Zaman kegemilangan dan kemahsyuran (1997), Brunei Darussalam: The Road to Independence (1998), History of Brunei in Brief (2000), Tarsilah Brunei: Sejarah Awal dan Perkembangan Islam (2001) dan Sejarah Sultan-sultan Brunei Menaik Takhta (2002).

Kecintaan Wijaya dalam bidang sastera juga terserlah dengan terhasilnya beberapa buah karya dan sumbangan. Beliau telah menggali dan menyingkap Syair Rakis yang dianggap penting dalam sejarah Melayu Nusantara dengan membuat transliterasi dari tulisan jawi ke tulisan rumi. Berikutan dengan itu, banyak kajian ilmiah yang menyusul mengkaji Syair Rakis.

Selain itu, Wijaya juga telah menghasilkan tiga buah karya sastera dalam genre puisi iaitu kumpulan puisi Renungan, Astaka Khusyuk Tawaduk dan antologi puisi Kembara Merdeka Dua Dekad Meniti Usia.