Latar Belakang Tokoh

Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri Bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar atau lebih dikenali dengan nama penanya iaitu Wijaya adalah seorang tokoh kesusasteraan dan kebudayaan Brunei yang masih aktif sehingga kini. Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Kedayan pada 10 Disember 1921. Tokoh yang berkebolehan berbahasa Inggeris, Jepun dan Arab ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan Brunei (1928- 1935) sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (1939-1942 & 1947-1948). Antara tahun 1944-1945, beliau melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Kanri Yosezyo di Kuching, Sarawak. Pada tahun 1950-1951, beliau menyambung pelajaran di Maktab Pertanian Serdang. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan City of Worcester, United Kingdom (1956-1957).


Wijaya memulakan kerjayanya sebagai seorang guru sekolah daripada tahun 1939 sehinggalah pada tahun 1947. Pada tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai penolong guru besar dan menjawat jawatan tersebut selama dua tahun. Seterusnya, pada tahun 1951, beliau memegang jawatan yang lebih tinggi lagi iaitu Pengurus Perkebunan Sekolah selama empat tahun. Beliau terus diberi kepercayaan dalam bidang pendidikan Brunei apabila dilantik sebagai Penasihat Kaedah Mengajar pada tahun 1957 sehingga 1960.



Wijaya telah memberi sumbangan besar dalam bidang bahasa dan sastera Brunei. Tokoh ini dilantik sebagai Pengarah Lembaga Bahasa Brunei, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Penasihat Kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Pelajaran, Ahli Mesyuarat Negeri, Ahli Mesyuarat Diraja dan kini bertugas sebagai Pengetua Pusat Sejarah Brunei.